KITA selalu mendengar dalam menjalin hubungan, perlu ada tolak ansur
dan saling faham memahami antara satu sama lain. Selalu saja dikatakan,
wanita lebih banyak bertolak ansur dan berubah demi memahami situasi
atau kehendak lelaki.
Namun, ada juga lelaki yang memahami
perasaan dan kemahuan seorang wanita dan sanggup berubah demi wanita
dicintai. Namun, tinjauan rambang yang dibuat menunjukkan ramai
menyatakan wanita terlalu rumit untuk difahami.
Pandangan ini mungkin betul atau salah. Bagi sesetengah pihak pula, mungkin tidak semua wanita sukar difahami.
Persoalannya.. apakah cara lelaki untuk memahami wanita dan apakah sifat wanita yang lelaki perlu ketahui?
Hari ini saya berkongsi dengan anda, senarai 10 perkara lelaki perlu
tahu mengenai wanita. Ia penting untuk kesejahteraan sesuatu
perhubungan.
* SENSITIF
Bukan bermaksud
suka merajuk, tapi hanya ingin bermanja dan mendapatkan perhatian.
Apabila seseorang wanita menyatakan dia sedang bersedih tetapi tidak
menitiskan air mata, itu bermakna dia sedang menangis dalam hati.
* CEREWET
Bukan
bermaksud ‘fussy’ tidak tentu hala, kadang kala ingin lelaki mengikut
kata-katanya sekali sekala. Ikutkan saja kemahuan mereka selagi mampu
tetapi ingat jangan mengeluh tidak tentu pasal… ini boleh memburukkan
lagi keadaan.
* HALUS
Ibarat sehelai
sutera, cantik, mulus, lembut dan mudah tercarik dan koyak. Walaupun
seorang wanita memaafkan seseorang yang lain atas sebab kesalahan,
lazimnya wanita akan ingat kesalahan itu untuk disimpan jadi
pengajaran… bukan dendam.
* IKHLAS
Ikhlas
seorang wanita tak perlu diragui. Semua wanita mahukan seorang lelaki
yang cintakan mereka sepenuh hati dan lelaki juga perlu ikhlas
mencintai wanita.
* PERASAAN
Wanita suka
jika sesekali orang yang disayangi membuat kejutan dengan memberi
hadiah, bunga atau sekadar kad ucapan romantis. Mereka akan rasa
terharu dan merasakan bahawa dirinya dicintai setulus hati. Dengan ini,
dia tidak akan ragu-ragu terhadapmu.
* PRIHATIN
Sentiasa
memerhatikan keadaan sekeliling dalam diam. Wanita juga mudah jatuh
hati pada lelaki yang prihatin dengan selalu ambil berat mengenai
mereka dan baik terhadapnya.
* MANJA
Walaupun
dia adalah seorang wanita yang pandai berdikari, naluri mereka masih
lagi tetap seorang wanita. Suka bermanja bukan hanya kepada insan yang
bernama lelaki, namun juga dengan orang lain seperti sahabat atau
keluarga.
* EGO
Wanita yang terlalu
sayangkan kekasihnya sanggup menolak ketepi egonya apabila bersemuka
dengan yang dicintai. Ini kerana apabila lelaki yang disukai merenung
tajam ke dalam matanya, dia akan cair seperti coklat!!
* CINTA
Cinta
pertama bagi wanita adalah yang paling dalam dan tulus. Apabila lelaki
yang dicintainya pertama kali dalam diam memberikan tindak balas
positif, misalnya menghubunginya melalui telefon, si gadis akan
bersikap acuh tak acuh seolah-olah tidak berminat.
Namun
selepas ganggang telefon diletakkan, dia akan menjerit kesukaan dan
tidak sampai sepuluh minit, semua rakan-rakannya akan tahu berita itu!
* SEKS
Seks
bukanlah segala-galanya buat wanita kerana wanita diciptakan dengan
sembilan nafsu dan satu akal. Mereka mempunyai nafsu yang banyak dan
tidak tertumpu kepada satu saja. Lelaki pula dijadikan dengan sembilan
akal dan satu nafsu. Fungsi sebenar lelaki ialah membimbing wanita dan
bukan menghanyutkannya.
Soalan : Adakah anda sudah benar-benar
memahami pasangan anda? Jika belum, apakah yang anda buat dalam usaha
anda untuk memahami si dia?
Tulisan : Alzahrin Alias (Berita Harian 05/Feb/2011)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar